Jumat, 27 Juni 2008

Kelalaian Mendidik Anak-anak

Anak-anak adalah amanah dari Allah SWT dan Ia sebahagian dari ujian Allah SWT kepada kita hamba-hambaNYA. Firman Allah SWT : "Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar." (QS. At-Taghabun, 64 : 15)

Sebagai ujian, Ia akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?

Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak."

Lalu Rasulullah SAW berkata "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia."

Maksud Al-Hadits, ini mungkin disebabkan beberapa kelalaian dalam mendidik anak-anak.

Kelalaian pertama : Kurang berdoa
A. Kurang berdoa semasa mengandung.
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah :
- Saidul (penghulu) Istighfar
- Doa memohon rahmat (QS. Ali Imran, 3 : 8-9)
- Doa memohon zuriat yang baik (QS. Ali Imran, 3 : 38)
- Doa agar anak mengerjakan solat (QS. Ibrahim, 14 : 40-41)

B. Kurang berdoa semasa membesarkan anak.
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah :
- Doa agar anak patuh kepada Allah SWT (QS. Al-Baqarah, 2 : 128)
- Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (QS. Al-Furqan, 25 : 74)
- Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

Kelalaian kedua : Banyak memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib (dorongan atau motivasi)
Ajaran tarhib antara lain seperti :
- menakutkan anak-anak dengan sekolah.
- menakutkan dengan tempat gelap.
- menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau.
- menggunakan kekerasan dan paksaan waktu menyuruh anak tidur.

Kelalaian ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak.
- tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
- terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti saja tanpa mengerti perasaan mereka.

Kelalaian keempat : Menegur anak secara negatif.
- mengeluarkan kata-kata kasar dan makian kepada anak-anak (terutama sewaktu marah).
- membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain.

Kelalaian kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani, rohani dan intelektual. Pendidikan intelektual lebih dipentingkan daripada pendidikan rohani. Apabila diberikan pendidikan rohani, pendidikan intelektual biasanya diberikan perhatian yang lebih besar. Sehingga tidak terjadi keseimbangan.

Kelalaian keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak. Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : 'Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

Berkata Aqra : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka."

Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."' (Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelalaian ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang baik.
Orang tua tidak menunjukkan cara berpakaian yang baik dan sesuai syara’ bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara seenaknya atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

Kelalaian kelapan : Susunan rumah tangga yang tidak baik.
Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara salah seorang daripada ibu bapanya.

Kelalaian kesembilan : Membolehkan orang yang tidak baik perilaku, kesopanan, dan akhlaknya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak.
Apabila kelalaian ini terjadi, maka akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang dalam pertumbuhan.

Kelalaian kesepuluh : Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton di TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media pada hari ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syara' dan perbualan yang dapat merosak aqidah dan pemikiran anak-anak.

Kelalaian kesebelas : Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.
Sebagai ibu bapa kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Menjadi kewajipan setiap daripada ibu dan bapa mendidik dan menjaga anak-anak dengan seimbangkan pengisian rohani dan jasmani,sebagai panduan kepada mereka pada masa hadapan untuk kebahagian mereka juga.Dan dalam masa yang sama dapat menyumbangkan kebangkitan masyarakat dan Negara yang selamat dari kemurkaan ALLAH,dan seterusnya melahirkan kehidupan yang aman dan harmoni.

Mengenal Imam Syafie'

Imam Syafie Pengasas Mazhab

Imam Syafie seorang anak yatim yang tidak sempat menikmati kasih sayang bapanya. Dalam penjagaan ibunya yang miskin, beliau dididik dengan semangat ketabahan, kesabaran dan keimanan yang kukuh. Dengan berbekalkan semangat perjuangan yang tinggi, beliau mengembara merentasi padang pasir, menempuh terik mentari dan kedinginan malam demi mencari ilmu pengetahuan.

Imam Syafie dikenali sebagai pengasas mazhab Syafie yang menjadi ikutan di beberapa negara Arab dan Asia Tenggara. Ilmunya yang luas dan sifat waraknya merupakan catatan emas dalam lembaran sejarah Islam. Beliau menganggap segala sesuatu yang terpancar daripada kalbu dan pemikirannya, merupakan milik umat untuk dinikmati bersama.


Beliau adalah Muhammad bin Idris Assyafie Almuttalibi. Nasabnya bertemu dengan nasab Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada moyangnya Abdu Manaf. Dilahirkan di Ghaza, Palestin, beliau dibawa kembali ke perkampungan keluarganya di Makkah. Sejak kecil beliau dihantar mempelajari ilmu bahasa Arab dan sasteranya dari qailah-qabilah arab. Seterusnya mempelajari ilmu agama dari ulamak Makkah seperti syaikh beliau Al-Imam Khalid bin Muslim Azzanjy. Al-Fudhail bin 'Iyadh, Sufyan bin Uyaynah dan lainnya.

Beliau seterusnya meneruskan safar mencari ilmu di Madinah, dan belajar dengan Imam Malik sehingga menjadi pelajar terbaiknya. Kitab Al-Muwatta' Imam Malik telah dihafalnya dalam tempoh tidak lebih dari 9 hari. Beliau telah belajar dari para ulamak Makkah dan Madinah dengan baik sehingga dalam usianya 18 tahun, beliau sudah layak memberi fatwa. Pakar Bahasa Arab seperti Al-Asma'i juga banyak mengambil manfaat darinya.

Beliau seterusnya pergi ke Iraq dan mengambil faedah dari Imam Muhammad bin Al-Hasan Assyaibani murid Imam Abu Hanifah. Di sana beliau mengarang kitabnya Al-Hujjah, dan mengumpulan padanya mazhabnya yang lama (qadim). Di Iraq juga, beberapa Imam besar telah belajar dari beliau, seprti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abi Tsaur.

Setelah itu beliau telah berpindah ke Mesir. Di sana, beliau telah mengubah pelbagai ijtihadnya dan memasyhurkan pendapatnya yang baru (mazhab/qaul jadid). Beliau juga telah menulis kitab agungnya Al-Umm dan kitab Usul Feqh pertama dalam sejarah Islam berjudul Ar-Risalah.

Imam Syafie diangkat sebagai Mujaddid kurun ke-2. Beliau telah menghimpukan ilmu antara ahli Hadis serta ahli ra'yi, menggariskan kaeda-kaedah ilmu usul feqh, selain dari ilmunya yang meluas dalam hadis, riwayat-riwayatnya, ahli-ahlinya, qur'an dan ulumnya, sejarah, syiir dan sastera, ilmu bahasa, serta wara' , taqwa lagi zuhud pada dunia. Beliau telah wafat di Kaherah pada tahun 204H.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyebut: "Imam Syafie seperti matahari bagi dunia dan penyembuh bagi badan" dan "Feqh itu terkunci pada ahli-ahlinya sehingga Allah membukanya dengan Assyafie".

Imam Abu Zur'ah pula ada menyebut: Aku tidak mengetahui seseorang yang lebih agung sumbangannya pada ahli Islam daripada As-Syafie.

Semoga Allah merahmatinya dan memanfaatkan kita dengan segala barakah, rahsia, ilmu dan cahaya beliau di dunia dan akhirat. Amiin.

Semoga liku-liku pengembaraan Imam Syafie dalam mencari dan mengembangkan ilmu pengetahuan menjadi teladan umat sepanjang zaman, insya Allah.

Kebebasan Islam Disalah Arti

ISU kebebasan adalah antara isu yang hangat diperkatakan umum kerana isu kebebasan bukan saja bersifat nasional, malah ia isu sejagat. Di mana saja negara di dunia ini sering membahaskan isu kebebasan dalam konteks kemanusiaan sesuai dengan peredaran zaman semakin canggih.

Oleh itu, sering kedengaran suara yang menuntut kebebasan wanita, kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan tuntutan kebebasan lain demi kepentingan dan kelangsungan hidup.

Meninjau senario mutakhir umat Islam kini, ada umat Islam masih lagi keliru dengan pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam. Rata-rata umat Islam memahami kebebasan dalam erti kata boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.

Disebabkan itu, kita dapati umat Islam semakin lama semakin jauh meminggirkan agama Islam dan ajarannya yang suci dalam realiti kehidupan atas alasan kebebasan yang dilaungkan. Mereka bebas menerima apa saja yang datang dari Barat pada hal tidak semuanya baik dan sesuai belaka.

Ini bukan kebebasan namanya, sebaliknya ia adalah melampaui batasan kemanusiaan dan menodai fitrah semula jadi manusia yang sebenar. Di sinilah terletak peranan kerajaan dan ulama untuk menerangkan kepada masyarakat pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam.

Perlu ditegaskan isu kebebasan tidak hanya ada dalam syariat Islam, undang-undang tubuh negara turut mengiktiraf kebebasan manusia dalam kehidupan seharian. Ini menunjukkan isu kebebasan adalah isu sejagat tanpa sebarang pengecualian dan sempadan tempat serta masa.

Berbicara mengenai kebebasan menurut kaca mata Islam, sebenarnya Islam daripada awal lagi sudah menegaskan bahawa kebebasan itu selaras dengan fitrah semula jadi manusia. Bahkan, Islam tidak membenarkan unsur paksaan wujud dalam ajarannya yang suci.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Dapat disimpulkan betapa Islam tidak membenarkan paksaan berlaku dalam perkara akidah dan agama. Ini isyarat jelas bahawa Islam mengambil kira kebebasan individu dan masyarakat ramai dalam kebanyakan urusan kehidupan.

Perlu ditegaskan di sini, tiada satu pun agama di dunia yang mengambil berat isu kebebasan melainkan Islam yang mengiktiraf keperluan hidup asasi manusia di muka bumi Allah SWT. Dengan ini, Islam menonjolkan ciri keistimewaan dan keunikannya yang mampu memancarkan sinar kesejahteraan serta kebahagiaan.

Islam memperakui kebebasan individu, kebebasan masyarakat, kebebasan bernegara, kebebasan pendapat, kebebasan pemilikan sebagai pecahan kecil daripada kebebasan lebih asasi iaitu kebebasan beragama atau kebebasan berakidah.

Dalam bab kebebasan beragama, Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam seperti didakwa orientalis Barat dan musuh Islam. Mereka memandang serong dan negatif terhadap Islam sehingga mereka memutar belitkan fakta mengenai Islam.

Justeru, umat Islam diminta berwaspada terhadap pemikiran beracun yang dicanangkan musuh Islam dan menyusun langkah berencana serta perancangan rapi bagi menyebarkan rahmat Islam ke seluruh pelusuk bumi.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna seorang Muslim bebas bertukar agama tanpa sebarang had. Islam menganggap apabila seseorang dengan rela hati mengucapkan dua kalimah syahadah sebagai satu perjanjian termeteri antara seseorang hamba dengan Tuhannya, ikrar itu wajib dikota dan dipelihara sepanjang masa.

Sesiapa murtad atau keluar daripada Islam, dia sudah melanggar perjanjian itu dan wajarlah Allah mengenakan hukuman keras terhadap orang yang murtad itu.

Kebebasan bersuara juga adalah isu yang menjadi perhatian umum. Yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara ialah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak bertanggungjawab.

Termasuk juga kebebasan akhbar menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum. Namun begitu, kebebasan itu masih terikat dengan garis panduan syarak iaitu berada di atas landasan amar makruf dan nahi mungkar.

Pada ketika itu, Islam memerintahkan umatnya supaya menyatakan kebenaran Islam sebagaimana dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), jika kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubah dengan lidah. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubah dengan hati. Itu adalah selemah iman.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kisah pidato perdana Saidina Abu Bakar al-Siddiq masih segar dalam lipatan sejarah sebaik saja beliau diangkat sebagai khalifah pertama dengan berkata: “Wahai manusia! Aku telah dipilih untuk memimpin kamu padahal aku bukanlah orang yang paling baik daripada kalangan kamu. Jika aku melakukan perkara yang betul maka hendaklah kamu semua membantuku dan jika aku melakukan penyelewengan maka hendaklah kamu memperbetulkan aku.”

Dapat disimpulkan, Saidina Abu Bakar menyedari memberikan rakyat jelata hak bersuara untuk memberikan pandangan dan kritikan kepada kepemimpinan beliau. Walaupun tempoh kepemimpinan Abu Bakar agak singkat, namun zaman beliau berjaya meneruskan kesinambungan era kecemerlangan Islam yang diasaskan Rasulullah SAW.

Di samping itu, Islam juga menegaskan bahawa setiap Muslim berkewajipan mempertahankan maruah dan hak masing-masing berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)

Ulama terkenal Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan. Malah, kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif iaitu dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Tambah beliau, kebebasan yang bersifat relatif akan memberi peluang kepada seseorang melakukan apa saja asalkan tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bertentangan dengan ajaran agama.

Sebaliknya, jika ada gangguan dan bercanggah dengan agama, sudah tentu masyarakat ramai akan bertindak menegah perbuatan yang melampaui batas itu.

Menurut Syeikh al-Sya’rawi, satu cara untuk seseorang memiliki kebebasan sepenuhnya ialah dengan memencilkan dirinya daripada orang ramai dan hidup bersendirian. Ketika itu, orang ramai tidak akan mengganggunya dan setiap perbuatannya tidak akan ditegah dan juga tidak akan dilihat. Maka dengan itu, kamu akan bebas melakukan apa saja yang kamu sukai.

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam kamus kehidupan umat manusia sejagat kerana keharmonian dan kesejahteraan hidup tidak akan wujud jika keadaan masyarakat tidak bersistem dan mengikut peraturan serta undang-undang.

Terserlah bahawa Islam adalah cara hidup yang menyediakan panduan lengkap bagi mengatur kehidupan manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat.

Wanita Solehah

ALLAH jadikan wanita daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok,yang semestinya mempunyai ciri-ciri kelembutan dan memerlukan kepada pembentukan yang begitu hikmah sekali,demi melahirkan muslimah solehah.wanita juga merupakan serikandi pembantu kepada lelaki dalam menegakkan panji agama islam tertegak di atas muka bumi,terutamanya pada era masa kini.Antara cirri-ciri yang di sebut oleh islam mengenai wanita solehah adalah seperti berikut :

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t.

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya 2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya

Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ? - Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya. - Wajib menutup aurat - Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah - Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya - Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa - Berbuat baik kepada ibu & bapa - Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang - Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa - Bersikap baik terhadap tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami - Sentiasa menyenangkan suami - Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah - Tidak cemburu di hadapan suami - Tidak menolak ajakan suami untuk tidur - Tidak keluar tanpa izin suami - Tidak meninggikan suara melebihi suara suami - Tidak membantah suaminya dalam kebenaran - Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya - Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga

Akhirnya marilah sama-sama kita pastikan semoga kita juga tergolong dari kalangan mereka yang di sebut sebagaimana di atas,demi untuk kebaikan diri,masyarakat dan ummah seluruhnya.Sebagaimana mafhum hadis “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”

Kata-kata Hikmah

KATA -KATA HIKMAH KHULAFA' AR-RASYIDIN

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:

  1. Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
  2. hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
  3. hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
  4. adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

  1. Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
  2. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
  3. Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
  4. Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:

  1. Hatinya selalu berniat suci
  2. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
  3. Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
  4. Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah
  5. Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

  1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
  2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
  3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
  4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
  5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
  6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
  7. Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
  8. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati

Teka-teki Al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) : Imam Ghazali = ' Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ? Murid 1 = ' Orang tua ' Murid 2 = ' Guru ' Murid 3 = ' Teman ' Murid 4 = ' Kaum kerabat ' Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185). Imam Ghazali = ' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?' Murid 1 = ' Negeri Cina ' Murid 2 = ' Bulan ' Murid 3 = ' Matahari ' Murid 4 = ' Bintang-bintang ' Iman Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama'. Iman Ghazali = ' Apa yang paling besar didunia ini ?' Murid 1 = ' Gunung ' Murid 2 = ' Matahari ' Murid 3 = ' Bumi ' Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.' IMAM GHAZALI' Apa yang paling berat didunia? ' Murid 1 = ' Baja ' Murid 2 = ' Besi ' Murid 3 = ' Gajah ' Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.' Imam Ghazali = ' Apa yang paling ringan di dunia ini ?' Murid 1 = ' Kapas' Murid 2 = ' Angin ' Murid 3 = ' Debu ' Murid 4 = ' Daun-daun' Imam Ghazali = ' Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat ' Imam Ghazali = ' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? ' Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang ' Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri ' 'sampaikanlah walau satu ayat'

Adab Penuntut Ilmu

Setiap perkara kebaikan yang kita lakukan adalah di tuntut supaya mengikut susur-galur yang telah ditetapkan mengikut panduan yang diteladani oleh junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W. Dan mengikut bahasa mudahnya adalah sebagai adab-adab yang perlu kita ikuti bagi memastikan keberjayaan ape yang kita buat berpaksikan kebenaran,contohnya menuntut ilmu, menuntut kita supaya mengikuti adab-adab sebagai penuntut ilmu.Yang mana hasilnya adalah keberkatan ilmu untuk kebaikan Dunia dan seterusnya Akhirat.

Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi kita kaum muslimin. Banyak sekali dalil yang menunjukkan keutamaan ilmu, para penuntut ilmu dan yang mengajarkannya. Adab-adab dalam menuntut ilmu yang harus kita ketahui agar ilmu yang kita tuntut berfaedah bagi kita dan orang yang ada di sekitar kita sangatlah banyak. Adab-adab tersebut di antaranya adalah:

1. Ikhlas karena Allah S.w.t . Hendaknya niat kita dalam menuntut ilmu adalah kerana Allah S.w.t dan untuk negeri akhirat. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan gelar agar boleh mendapatkan kedudukan yang tinggi atau ingin menjadi orang yang terpandang atau niat yang sejenisnya, maka Rasulullah e telah memberi peringatan tentang hal ini dalam sabdanya :

"Barangsiapa yang menuntut ilmu yang pelajari hanya kerana Allah S.w.t sedang ia tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan mata-benda dunia, ia tidak akan mendapatkan bau syurga pada hari kiamat".( HR: Ahmad, Abu,Daud dan Ibnu Majah Tetapi kalau ada orang yang mengatakan bahawa saya ingin mendapatkan syahadah (MA atau Doktor, misalnya ) bukan kerana ingin mendapatkan dunia, tetapi kerana sudah menjadi peraturan yang tidak tertulis kalau seseorang yang memiliki pendidikan yang lebih tinggi, segala ucapannya menjadi lebih didengarkan orang dalam menyampaikan ilmu atau dalam mengajar. Niat ini - insya Allah - termasuk niat yang benar.

2.Untuk menghilangkan kebodohan dari dirinya dan orang lain. Semua manusia pada mulanya adalah bodoh. Kita berniat untuk menghilangkan kebodohan dari diri kita, setelah kita menjadi orang yang memiliki ilmu kita harus mengajarkannya kepada orang lain untuk menghilang kebodohan dari diri mereka, dan tentu saja mengajarkan kepada orang lain itu dengan berbagai cara agar orang lain dapat mengambil faedah dari ilmu kita. Apakah disyaratkan untuk memberi manfaat pada orang lain itu kita duduk di masjid dan mengadakan satu pengajian ataukah kita memberi manfa'at pada orang lain dengan ilmu itu pada setiap saat? Jawapan yang benar adalah yang kedua; kerana Rasulullah S.a.w bersabda :

"Sampaikanlah dariku walaupun cuma satu ayat (HR: Bukhari)

Imam Ahmad berkata: Ilmu itu tidak ada bandingannya apabila niatnya benar. Para muridnya bertanya: Bagaimanakah yang demikian itu? Beliau menjawab: ia berniat menghilangkan kebodohan dari dirinya dan dari orang lain.

3. Berniat dalam menuntut ilmu untuk membela syari'at. Sudah menjadi keharusan bagi para penuntut ilmu berniat dalam menuntut ilmu untuk membela syari'at. Kerana kedudukan syari'at sama dengan pedang kalau tidak ada seseorang yang menggunakannya ia tidak bererti apa-apa. Penuntut ilmu harus membela agamanya dari hal-hal yang menyimpang dari agama (bid'ah), sebagaimana tuntunan yang diajarkan Rasulullah S.a.w. Hal ini tidak ada yang bisa melakukannya kecuali orang yang memiliki ilmu yang benar, sesuai petunjuk Al-Qor'an dan As-Sunnah.

4. Lapang dada dalam menerima perbezaan pendapat. Apabila ada perbezaan pendapat, hendaknya penuntut ilmu menerima perbezaan itu dengan lapang dada selama perbezaan itu pada persoalan ijtihad, bukan persoalan aqidah, kerana persoalaan aqidah adalah masalah yang tidak ada perbezaan pendapat di kalangan salaf. Berbeza dalam masalah ijtihad, perbezaan pendapat telah ada sejak zaman shahabat, bahkan pada masa Rasulullah S.a.w masih hidup. Kerana itu jangan sampai kita menghina atau menjelekkan orang lain yang kebetulan berbeza pandapat dengan kita.

5. Mengamalkan ilmu yang telah didapatkan. Termasuk adab yang tepenting bagi para penuntut ilmu adalah mengamalkan ilmu yang telah diperoleh, kerana amal adalah buah dari ilmu, baik itu aqidah, ibadah, akhlak mahupun mu'amalah. Kerana orang yang telah memiliki ilmu adalah seperti orang memiliki senjata. Ilmu atau senjata (pedang) tidak akan ada gunanya kecuali diamalkan (digunakan).

6. Menghormati para ulama dan memuliakan mereka. Penuntut ilmu harus selalu lapang dada dalam menerima perbedaan pendapat yang terjadi di kalangan ulama. Jangan sampai ia mengumpat atau mencela ulama yang kebetulan keliru di dalam memutuskan suatu masalah. Mengumpat orang biasa saja sudah termasuk dosa besar apalagi kalau orang itu adalah seorang ulama.

7. Mencari kebenaran dan sabar Termasuk adab yang paling penting bagi kita sebagai seorang penuntut ilmu adalah mencari kebenaran dari ilmu yang telah diperolehi. Mencari kebenaran dari berita berita yang sampai kepada kita yang menjadi sumber hukum. Ketika sampai kepada kita sebuah hadits misalnya, kita harus meneliti lebih dahulu tentang keshahihan hadits tersebut. Kalau sudah kita temukan bukti bahawa hadits itu adalah shahih, kita berusaha lagi mencari makna (pengertian ) dari hadits tersebut. Dalam mencari kebenaran ini kita harus sabar, jangan tergesa-gasa, jangan cepat merasa bosan atau keluh kesah. Jangan sampai kita mempelajari satu pelajaran setengah-setengah, belajar satu kitab sebentar lalu ganti lagi dengan kitab yang lain. Kalau seperti itu kita tidak akan mendapatkan apa dari yang kita tuntut. Di samping itu, mencari kebenaran dalam ilmu sangat penting kerana sesungguhnya pembawa berita terkadang punya maksud yang tidak benar, atau barangkali dia tidak bermaksud jahat namun dia keliru dalam memahami sebuah dalil.

Sebagai penuntut ilmu terutamanya ilmu agama ALLAH,marilah sama-sama kita ikuti dan teladani ape yang Rasullah S.A.W. tinggal kepada kita mengenai adab-adab sebagai penuntut ilmu mudah-mudahan kita mendapat keberkatan ilmu itu sendiri,yang akhirnya dapat menyelamatkan masyarakat dan ummah seluruhnya.

Wallahu 'Alam.